Monday 14 November 2011

Perkusi Bahagian 2 : Kemahiran dan Teknik Asas Permainan Alat Perkusi Pendidikan Muzik Tahap 1 ( Tahun 1 , 2 dan 3)

Kemahiran Memainkan Alat Perkusi


Dalam permainan alat perkusi, murid-murid diberikan peluang belajar membaca skor perkusi yang terancang. Mereka belajar :


  • Menunggu giliran mengikut skor.
  • Menyebut menepuk dan mengetuk bersama-sama.
  • Memainkan alat dan berhenti mengikut arahan.
  • Mula dan berhenti bersama-sama mengikut skor muzik.
  • Merasai situasi bermain seperti sebuah orkestra yang penuh dengan peraturan dan disiplin.
  • Cara yang betul untuk memegang dan memainkan alat-alat perkusi adalah penting bagi menghasilkan bunyi yang estetik. Murid perlu dilatih mengamalkan teknik memainkan alat-alat perkusi yang betul.


Kerincing


Rupa bentuk Kerincing lazimnya diperbuat daripada besi dan berbentuk segitiga. Pemegangnya merupakan seutas tali pendek yang diikat pada bucunya. Kerincing mempunyai sebatang besi pengetuk. Apabila diketuk, ia menghasilkan bunyi lanjut yang nyaring.

Pegang tali kerincing pada talinya sebelah tangan dan pemukulnya di tangan yang sebelah lagi. Pastikan tangan yang memegang tali kerincing tidak menyentuh kerincing.

Kerincing boleh dimainkan dengan cara mengetuk pada lingkaran segitiganya dengan pengetuk kerincing. Ketukan boleh dilakukan juga di sebelah luar kerincing atau dalam kerincing.


Kastanet
Rupa bentuk Kastanet diperbuat daripada kayu atau plastik. Alat ini mempunyai dua bahagian yang diikat dengan tali atau getah.

Cara memegang dan memainkan kastanet :
Lazimnya gelung tali atau getah kastanet disarungkan pada jari tengah dan biarkan kastanet terletak di atas tapak tangan kiri @ kanan. Ketuk kastanet dengan hujung jari tangan kanan @ kiri.


Tamborin

Tamborin merupakan sebuah gelung yang lazimnya diperbuat daripada kayu atau plastik. Di sekelilingnya terdapat ceper-ceper besi kecil yang menghasilkan bunyi apabila digoncang. Terdapat dua jenis tamborin iaitu tamborin berkulit dan tamborin tanpa kulit.

Lazimnya tamborin dimainkan dengan dua cara iaitu:
Pegang tamborin dengan tangan kanan dan goyangkan ke kiri dan ke kanan.
Pegang tamborin dengan tangan kiri @ kanan. Ketuk tepi tamborin atau kulit tamborin dengan hujung jari tangan kanan @ kiri.


Tik-Tok

Tik-tok lazimnya diperbuat daripada kayu. Ia mempunyai pemegang dan sebatang pengetuk. Tik-tok menghasilkan bunyi yang tidak lanjut. Bunyi yang dihasilkan daripada bahagian kanan tik-tok tidak sama dengan bunyi daripada bahagian kiri.

Cara memegang dan memainkan tik-tok 
Pegang tik-tok dengan tangan kiri dan pengetuknya dengan tangan kanan.
Ketuk tik-tok pada bahagian kiri dan kanannya secara bergilir-gilir.








0 comments: